Friday, March 8, 2013

Lebah kelulut beri dimensi baru industri madu Malaysia

Ramai rakyat di negara ini mempunyai minat untuk memelihara lebah bagi mendapatkan madu, namun minat itu terencat kerana takut dengan bahaya disengat lebah madu.
  
Lebah kelulut yang merupakan sejenis lebah yang tidak mempunyai sengat mampu menyelesaikan masalah itu dan seterusnya memberikan dimensi baharu kepada industri madu di negara ini.
  
Penolong Pegawai Kanan, Pusat Pemuliharaan Lebah Negara Jabatan Pertanian, Zakbah Mian berkata lebah kelulut merupakan alternatif terbaik kepada lebah madu kerana madunya yang lebih berkhasiat.
  
"Walaupun kelulut sejenis serangga kecil dan mengeluarkan produk dalam kuantiti sedikit tetapi bila dipelihara dalam kuantiti besar pengeluaran madu kelulut boleh ditingkatkan," katanya ketika ditemui Bernama di sini.
  
Lebah kelulut atau nama saintiknya Trigona spp mempunyai lebih 150 spesies di serata dunia malah Malaysia sendiri mempunyai 29 spesies lebah itu dengan habitat kegemarannya hutan hujan tropika. Spesies yang digalakkan dipelihara di Malaysia ialah Trigona itama dan Trigona thoracica.
  
Penolong Pegawai Penyelidik Mardi, Zulidzham Mohd Sani berkata pengeluaran madu kelulut bergantung kepada kawasan persekitarannya terutama terdapat banyak pokok-pokok yang berbunga.
  
Beliau berkata jika kawasan sekitarnya banyak pokok berbunga, madu kelulut boleh dihasilkan antara sekilogram atau lebih dalam satu sarang bagi tempoh kira-kira dua bulan.
  
"Lebah kelulut lebih suka kepada persekitaran yang teduh dan sejuk untuk bersarang. Pemeliharaan kelulut sangat mudah dengan membuat kotak kayu berukuran 38.1 cm X 38.1 cm di bawah pondok beratapkan rumbia.
  
"Lebah kelulut boleh didapati di batang pokok yang berlubang kemudian diambil untuk dipindahkan ke dalam kotak untuk ia membiak. Namun ia juga mempunyai musuh utama iaitu anai-anai merah selain semut," katanya.
  
Beliau berkata berdasarkan kajian makmal di Mardi, madu kelulut boleh menyembuhkan lelah, batuk, asma dan lain-lain penyakit.
  
"Bukan setakat madu sahaja, Propolis dan Polen dihasilkan kelulut boleh juga dimakan dengan direndam ke dalam air panas. Air rendaman itu juga boleh diminum begitu sahaja untuk menghilang batuk atau lelah," katanya. - Bernama

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment