SEGALA yang diciptakan Allah sudah pasti tiada yang sia-sia. Antara
ciptaanNya yang amat istimewa adalah lebah. Sesungguhnya lebah
diletakkan pada kedudukan amat penting berbanding serangga lain.
Tidak hairan jika satu surah di dalam al-Quran dinamakan An-Nahl
bererti lebah berdasarkan firman Allah dalam ayat 68 dan 69 ertinya:
“Dan Tuhanmu mengilhamkan kepada lebah: Buatlah sarang-sarang di
bukit-bukit, di pohon-pohon kayu dan di tempat yang dibuat manusia.”
“Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam
warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia.
Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda
(kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang memikirkan.”
Madu berasal daripada sari bunga dan menjadi ubat bagi pelbagai penyakit manusia.
Khasiat madu sebagaimana disampaikan al-Quran telah dibuktikan secara ilmiah oleh pakar perubatan.
Sehingga kini kajian hanya menjurus kepada lebah madu dalam Genus Apis seperti Apis melifera dan Apis dorsata yang menyengat.
Manakala lebah tidak menyengat atau kelulut dalam genus Trigona memainkan peranan penting bagi proses pendebungaan ditinggalkan.
Sama seperti lebah madu, kelulut juga membentuk koloni sosial yang kompleks.
Kajian dijalankan di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian
Malaysia (MARDI) menunjukkan negara mempunyai kepelbagaian kelulut
paling banyak berbanding negara Asia lain.
Pegawai Penyelidik, Pusat Penyelidikan Strategik, Mohd Fahimee Jaafar
berkata, di Semenanjung Malaysia saja terdapat 29 spesies kelulut
manakala jumlah spesies di Sabah dan Sarawak tidak dapat ditentukan.
“Di MARDI saja terdapat 15 spesies dan boleh dibahagikan kepada tiga iaitu besar, sederhana dan kecil,” katanya.
Kajian Mohd. Fahimee banyak dibantu oleh Pembantu Penyelidik, Hamdan
Sipon yang telah menjalankan kajian kelulut selama lebih 10 tahun.
Fahimee berkata, usaha pemuliharaan spesies kelulut di lapangan giat
dijalankan di MARDI bagi tujuan penyelidikan dan pendidikan.
Kelulut biasanya terdapat di hutan dan bersarang pada batang kayu yang telah ditebang.
“Beberapa sarang direka di ladang di Serdang bertujuan memanipulasi
koloni bagi pendebungaan beberapa spesies buah-buahan serta buah-buahan
dengan bunga kecil dan penghasilan madu.
“Kepelbagaian kelulut boleh dilihat menerusi bentuk sarang,” katanya.
Koloni kelulut di MARDI diletakkan di ladang durian, belimbing dan longan sebagai agen pendebungaan yang berjaya.
“Misalnya ladang durian yang mempunyai koloni kelulut menunjukkan
peningkatan hasil dan sentiasa berbuah tidak mengira musim,” katanya.
Lebih istimewa, lebah kelulut mudah mendebungakan bunga bersaiz kecil yang tidak boleh dilakukan lebah madu.
Bagi tujuan komersial, koloni kelulut diletakkan dalam kotak yang boleh memuatkan 1,000 hingga 2,000 ekor.
“Dalam masa sebulan hasil kelulut sudah boleh dituai dalam bentuk
madu, debunga dan propolis dan pengambilan madu lebih mudah kerana
kelulut tiada sengat,” katanya.
Kelebihan kelulut adalah madunya boleh diambil setiap bulan apabila
kotak sarang telah penuh dan madu berada di dalam kantung-kantung kecil.
Setakat ini madu kelulut belum lagi dikomersialkan kerana masih ramai tidak mengetahui kelebihan kelulut.
“Sama seperti lebah madu, kelulut juga menghasilkan madu dan propolis yang kaya dengan khasiat seperti antioksidan yang tinggi.
“Madu kelulut rasanya agak masam berbanding madu biasa dan warnanya lebih cerah,” katanya.
Madu kelulut lebih mahal dibandingkan dengan madu lebah biasa kerana kurang di pasaran.
Produk propolis berwarna kehitaman dikumpulkan oleh kelulut pekerja
iaitu resin pokok yang dicampurkan dengan air liur serta makanan seperti
debunga dan bunga.
Bahan propolis digunakan untuk melapisi bahagian dalam sarang bagi
mengekalkan keadaan steril kerana anak kelulut amat sensitif dengan
virus, kulat dan serangga perosak.
Propolis boleh berfungsi sebagai antikulat, antifungus, antibakteria
dan antiradang yang biasanya digunakan sebagai bahan aktif dalam
kosmetik, krim dan tablet.
Kelulut mudah diuruskan kerana tidak seperti lebah madu yang sering
hilang, tidak tinggal di sarang serta mudah diserang penyakit.
Justeru, kajian mendalam mengenai produk kelulut perlu dijalankan bagi membolehkannya dikomersialkan pada masa hadapan.
(Sumber dari Utusan Online)